Isnin, 3 Oktober 2011

Panduan jemaah wanita di Makkah


PENGALAMAN menunjukkan jemaah haji wanita Malaysia yang menunaikan ibadat haji sering mengalami masalah yang tidak diduga atau jarang dialami di tanah air, terutama yang berkaitan pendarahan, sama ada haid, istihadah, pendarahan selepas usia atau masalah keputihan. Ia sering berlaku tidak mengikut kebiasaan yang dialami di tanah air. Ini mungkin di sebabkan perubahan cuaca atau keadaan yang menyebabkan tekanan. Selain daripada itu banyak juga masalah berkaitan hubungan suami isteri dan hubungan dengan rakan sebilik semasa di Madinah atau Makkah.

Isu mengenai pendarahan


l Pengambilan ubatan bagi tujuan menahan kedatangan haid.

Untuk mengelakkan kerja haji tergendala kerana kedatangan haid ada jemaah haji wanita Malaysia yang mengambil ubatan bagi tujuan menyekat kedatangan haid sepanjang tempoh mengerjakan ibadat haji. Pengambilan ubatan bagi tujuan ini ada yang berhasil, namun ada juga yang gagal, malah lebih malang pendarahan berlaku dalam keadaan tidak menentu, ada yang pendarahan berlaku berpanjangan, ada juga pendarahan berlaku dalam kuantiti yang amat banyak melebihi keadaan biasa.

Keadaan ini mungkin berlaku disebabkan wanita terbabit mengambil ubatan tanpa mendapat nasihat pakar sakit puan terlebih dahulu atau tidak memakan ubatan mengikut nasihat dan peraturan ditetapkan. Oleh itu, adalah dinasihatkan bagi wanita yang berhasrat untuk mengambil ubatan bagi tujuan menahan daripada kedatangan haid mestilah terlebih dahulu mendapatkan nasihat doktor sakit puan.

Seeloknya doktor perlu dirujuk tiga bulan sebelum berangkat ke tanah suci Makkah. Mereka yang mengambil ubatan bagi tujuan ini juga mesti mematuhi nasihat dan peraturan yang ditetapkan doktor. Seperti dijelaskan, kegagalan mengikuti nasihat dan peraturan ini sebaliknya bukan saja menggagalkan tujuan menahan kedatangan haid ketika mengerjakan ibadat haji, malah ada kalanya keadaan lebih teruk apabila pendarahan berlaku secara berterusan dan dalam kuantiti banyak. Keadaan ini sudah tentu mengganggu wanita terbabit melakukan ibadat haji.

l Haid datang sebelum wanita berniat ihram.

Ada kemungkinan jemaah haji wanita mengalami kedatangan haid sebelum lagi beliau melakukan niat ihram. Sekiranya wanita mengalami kedatangan haid seperti ini beliau tidak seharusnya berasa bimbang. Beliau sebenarnya masih dibenarkan berniat melakukan ihram dengan melakukan perkara berikut:

i. Mandi sunat ihram

ii. Berniat ihram, sama ada sebelum sampai di miqat atau selepas sampai di miqat

iii. Memakai pakaian ihram

iv. Bertalbiyah, bertahmid, bertasbih dan berzikir.

Pada hakikatnya kedatangan haid dalam keadaan seperti ini tidak menjejaskan kerja haji.

l Haid datang selepas berniat ihram.

Ada kemungkinan jemaah haji wanita mengalami kedatangan haid selepas beliau berniat ihram. Kedatangan haid seperti ini juga tidak menghalang wanita terbabit melakukan sesetengah kerja haji. Beliau boleh melakukan wuquf di Arafah, bermalam di Muzdalifah, bermalam di Mina, melontar jamrah dan membaca semua doa berkaitan dengan kerja haji terbabit. Beliau hanya tidak dibenar melakukan tawaf rukun atau sunat. Beliau boleh melakukannya selepas suci daripada haid sekiranya tarikh penerbangan pulang ke tanah air masih mengizinkan.

l Haid datang ketika mengerjakan tawaf umrah.

Ada kemungkinan jemaah haji wanita mengalami kedatangan haid ketika melakukan tawaf umrah, sama ada ia berlaku selepas langkah pertama pada pusingan pertama, pada pusingan kedua dan pusingan seterusnya. Dalam keadaan seperti ini wanita yang berniat untuk melakukan haji tamattu’ atau umrah sunat maka tawafnya dikira tidak sah. Beliau dikehendaki menunggu sehingga suci daripada haid, kemudian melakukan tawaf semula.

Dengan itu umrahnya dikira selesai. Namun demikian sekiranya haid wanita ini tidak suci sehingga masa hendak berangkat melakukan wuquf di padang Arafah, bererti ibadat umrahnya belum selesai. Dalam keadaan seperti ini wanita terbabit tidak perlu berasa cemas kerana dalam isu ini ada dua pendapat mazhab. Mazhab Syafi`e berpendapat wanita terbabit tidak boleh memasukkan sekali niat hajinya kedalam umrah tamattu’ yang belum selesai itu.

Ia bermakna wanita terbabit tidak dapat melakukan ibadat haji pada tahun itu. Namun bagi mazhab Maliki wanita terbabit masih boleh memasukkan niat hajinya ke dalam umrah yang belum selesai itu selagi dia belum mengakhiri tawaf dengan melakukan solat sunat tawaf dua rakaat. Dengan memasukkan niat hajinya ke dalam umrah yang belum selesai itu hajinya bertukar menjadi haji Qiran.

Dengan itu, beliau dikenakan membayar dam haji Qiran. Oleh itu bagi wanita yang mengalami keadaan seperti ini dinasihati supaya bertaqlid dengan Mazhab Maliki. Inilah barangkali yang dimaksudkan dalam hadis Rasulullah yang menjelaskan bahawa khilaf umatnya itu adalah rahmat.

Tanpa bertaqlid dengan mazhab Maliki wanita yang mengalami keadaan seperti ini akan terlepas peluang mengerjakan haji pada tahun itu, sekalipun beliau mengeluarkan wang ringgit, tenaga dan masanya. Pendapat mazhab Maliki adalah satu rahmat besar kepada jemaah haji wanita yang mengalami keadaan seperti ini.

l Haid datang sebelum tawaf umrah.

Ramai jemaah haji lelaki dan wanita memilih melakukan haji tamattu’. Tiada masalah yang mungkin timbul bagi jemaah haji lelaki, namun jemaah haji wanita yang memilih untuk melakukan haji tamattu’ kemudian mengalami kedatangan haid sebelum tawaf umrah dan haidnya tidak suci sehingga waktu berangkat untuk melalukan wuquf di padang Arafah, wanita ini tidak perlu berasa bimbang.

Ia kerana beliau masih dibenarkan menukar niat haji Tamattu’nya kepada haji Qiran dengan melakukan niat haji Qiran. Dengan penukaran hajinya daripada Tamattu’ kepada Qiran beliau diwajibkan membayar dam haji Qiran.

l Haid datang sebelum tawaf rukun.

Ada kemungkinan jemaah haji wanita mengalami kedatangan haid sebelum tawaf rukun. Wanita yang mengalami keadaan seperti ini sedangkan tarikh penerbangan balik ke Malaysia hampir yang tidak memungkinkannya menunggu suci sebelum berangkat pulang dan tarikh penerbangan pula tidak boleh ditunda, atau kalau ditunggu sehingga haid suci akan mendatangkan kesukaran lebih besar lagi.

Dalam keadaan seperti ini ada dua pendapat mazhab. Mengikut pendapat mazhab Syafi`e wanita itu masih berada dalam ihram sehinggalah beliau melakukan tahallul ihsar dengan menyembelih seekor kambing dan bergunting dengan berniat tahallul di tempat yang perjalanannya tidak mampu untuk melakukan tawaf (Malaysia).

Selepas itu beliau boleh melakukan perkara yang diharamkan sebelum tahallul thani. Bagi mazhab Syafi`e hajinya pada tahun itu tidak sempurna dan beliau diwajibkan menyempurnakan tawaf hajinya di tahun akan datang yang dia mampu melakukannya. Namun demikian mengikut mazhab Hanafi, wanita terbabit boleh melakukan tawaf dan sai`e. Tetapi hukum tawafnya adalah haram kerana dia tawaf dalam keadaan haid. Beliau diwajibkan membayar dam seekor unta. Bagi mazhab Hanafi hajinya pada tahun itu dikira sah. Beliau tidak perlu lagi mengerjakannya semula pada tahun hadapan.

Oleh itu, jemaah haji wanita yang mengalami keadaan seperti ini dinasihati supaya meminta nasihat daripada pakar rujuk ibadat haji di maktab masing-masing untuk menyelesaikan masalahnya.

l Haid datang selepas wuquf dan tawaf rukun.

Ada kemungkinan jemaah haji wanita mengalami kedatangan haid selepas melakukan wuquf di padang Arafah dan selepas selesai melakukan tawaf rukun, cuma beliau kedatangan haid sebelum sempat melakukan tawaf wada`. Sekiranya jemaah haji wanita mengalami keadaan seperti ini dan tiada kemungkinan haidnya akan suci sehingga tarikh penerbangan balik ke Malaysia, beliau boleh saja pulang ke tanah air dengan tidak perlu melakukan tawaf wada` . Beliau juga tidak dikenakan sebarang dam, kerana dia termasuk dalam uzur yang dimaafkan. Hajinya pada tahun itu dikira sempurna.

l Darah haid kekeruhan dan kekuningan.

Ada kemungkinan jemaah haji wanita mendapati masih ada darah berwarna kekeruhan dan kekuningan selepas tamat tempoh kebiasaan haidnya. Wanita yang mengalami keadaan seperti ini tidak perlu berasa bimbang. Darah yang berwarna kekeruhan dan kekuningan ini tidak dikira sebagai darah haid. Ertinya beliau sudah suci daripada haid. Oleh itu beliau boleh mandi hadas besar dan seterusnya boleh mengerjakan tawaf.

l Fatrah al-naqa'.

Fatrah al-naqa' bermaksud hari haid berhenti dalam tempoh masa haid. Jemaah haji wanita mungkin mengalami keadaan seperti ini, haidnya terhenti pada jangka masa tertentu dalam tempoh kebiasaan haidnya. Sekiranya tempoh masa darah terhenti itu mencapai tempoh selama 24 jam ulama berbeza pendapat.

Ada yang berpendapat tempoh itu masih dikira sebagai tempoh masa haid. Ada yang berpendapat tempoh itu boleh dikira sebagai suci. Oleh itu, bagi wanita yang kesuntukan masa untuk melakukan tawaf rukun disebabkan tarikh penerbangan yang tidak mengizinkannya menunggu sehingga tamat tempoh kebiasaan haidnya dan tarikh penerbangan tidak boleh ditunda adalah dinasihatkan supaya berpegang dengan pendapat fuqaha' yang mengatakan fatrah al-naqa' selama 24 jam adalah suci, bukan haid. Dengan itu beliau boleh mandi hadas besar, seterusnya melakukan tawaf rukun dan berangkat pulang.

l Darah istihadah dan keputihan yang berpanjangan.

Ada keadaannya jemaah haji wanita mengalami darah istihadah atau mengalami keputihan yang berpanjangan. Wanita yang mengalami dua keadaan ini masih boleh melakukan solat, tawaf dan ibadat yang melakukannya disyaratkan suci daripada hadas kecil. Sebelum melakukan ibadat terbabit beliau mestilah terlebih dahulu mengambil wuduk. Cara beliau berwuduk adalah seperti berikut:

i. Beliau mesti berwuduk selepas masuk waktu solat

ii. Sebelum berwuduk beliau mestilah membersihkan darah dan keputihan. Selepas darah dan keputihan dibersihkan beliau hendaklah memakai tuala wanita

iii. Wuduknya hanya memadai untuk satu fardu dan beberapa sunat. Ertinya beliau boleh melakukan tawaf rukun, beberapa solat sunat dan beberapa tawaf sunat. Beliau boleh melakukan satu solat fardu dan beberapa solat sunat dan beberapa tawaf sunat.

Melakukan sa`ie tidak memerlukan suci daripada hadas kecil.

l Beberapa nasihat bagi mereka yang mengalami haid atau berkemungkinan mengalami kedatangan haid.

i. Tidak digalakkan tinggal bersendirian di dalam bilik hotel. Adalah dinasihatkan supaya berada di bilik jiran sebelah atau berada di lobi hotel sahaja. Ia adalah sebagai langkah berjaga-jaga daripada keadaan yang tidak diingini berlaku.

ii. Atas nasihat doktor, wanita yang mengalami istihadah atau keputihan tidak digalakkan memakai tampon kerana berkemungkinan besar mengakibatkan kesan sampingan.

iii. Wanita yang berkemungkinan mengalami kedatangan haid digalakkan banyak berdoa semoga Allah memberi kemudahan beliau melakukan ibadah haji dengan menjauhkan kedatangan haid yang tidak menentu, terutama pada saat ibadat itu perlu dilakukan dalam keadaan suci. Mereka tidak digalakkan membaca bacaan tertentu untuk menghalang kedatangan haid, kecuali bacaan itu dipastikan sabit daripada hadis sahih. Ini bagi tujuan menjauhkan jemaah haji daripada melakukan perkara khurafat yang sangat-sangat ditegah syarak.

iv. Ketika dalam keadaan haid dan tidak boleh melakukan ibadat yang mensyaratkan suci daripada hadas, wanita terbabit digalakkan melakukan banyak ibadat lain seperti bertahlil, bertahmid, bertasbih, bertakbir atau zikir lain.


Oleh Prof Madya Dr Anisah Abd 

Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (Tabung Haji/JAKIM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan