Antara sebabnya, masalah komunikasi antara suami isteri terutama bagi
yang mengikut muassasah. Hal ini bukan sahaja melibatkan soal suami
'tertinggal' isteri semasa mahu ke Masjidil Haram atau Masjid Nabawi tetapi
juga melibatkan hubungan intim suami isteri.
Eksekutif Bimbingan, Tabung Haji Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS),
Abdul Rahman Hamzah berkata, kes bermasam muka akibat ketiadaan hubungan intim
suami isteri ini memang berlaku walaupun ramai yang malu bercakap mengenainya.
Katanya, berdasarkan pengalaman mengurus jemaah haji, ada suami yang
jadi pemarah atau terganggu emosinya disebabkan masalah ini.
"Sebab itu, jemaah haji jangan malu berjumpa petugas Tabung Haji
(TH) untuk menggunakan Bilik Berkat yang disediakan di hotel-hotel di
Mekah.
"Tujuan disediakan bilik tersebut bagi membolehkan suami bersama
dengan isteri sebelum bergerak ke Arafah.
"Ini penting supaya mereka bergerak ke Arafah dengan suasana ceria
dan emosi yang stabil agar dapat melaksanakan ibadat dengan sempurna,"
katanya kepada Mega, baru-baru ini.
Abdul Rahman, 31, berpengalaman membimbing jemaah haji sejak tahun 2001
dan pernah bertugas dengan Darus Salam Holding di Brunei selama enam tahun
iaitu sehingga tahun 2006.
Selepas menyertai THTS pada tahun 2007, lulusan Universiti Umm al-Qura',
Mekah itu dilantik sebagai Penolong Timbalan Pengurus Maktab Haji di Mekah
sehingga tahun 2008.
Seterusnya dilantik sebagai Timbalan Pengurus Maktab Haji di Mekah mulai
tahun 2009 hingga sekarang.
Abdul Rahman juga menasihati jemaah haji agar tidak mensia-siakan waktu
mustajab berdoa iaitu 30 minit sebelum terbenam matahari pada 10 Zulhijjah
semasa berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Sebabnya, kata beliau, pada waktu itu gangguan syaitan amat hebat
sehingga ramai jemaah 'disibukkan' dengan hal-hal lain.
"Ketika ini, jemaah berada dalam ihram tetapi masa ini jugalah ada
jemaah yang sibuk nak mengambil makanan, ais krim dan sebagainya," jelas
beliau.
Pada masa yang sama, Abdul Rahman mengingatkan jemaah yang menaiki
penerbangan akhir ke Mekah supaya tidak berusaha mencukupkan umrah sunat tujuh
kali dalam masa lima hari.
"Dikhuatiri perbuatan ini boleh menjejaskan kesihatan jemaah kerana
mereka masih belum ke Arafah untuk wuquf dan melontar di Mina.
"Kalau hendak buat, boleh tetapi selepas selesaikan haji
dulu," jelas beliau.
Oleh kerana kewajipan menunaikan haji itu barangkali sekali seumur
hidup, elok juga jemaah mempersiapkan diri dengan doa-doa untuk dibawa ke Tanah
Suci.
Abdul Rahman menyarankan agar doa itu ditulis sejak di tanah air dan
anak-anak boleh membantu ibu bapa masing-masing dalam hal itu.
"Demikian juga, pastikan kita membawa sejadah, tasbih dan kasut sebagai
persediaan di Mina semasa berada di Arafah untuk mengelak pecah pada tumit dan
tapak kaki," katanya.
Seperti yang kita maklum, Tanah Suci adalah tempat mustajabnya doa dan
juga tempat di mana pembalasan Allah itu boleh berlaku serta-merta, maka perlulah
jemaah haji menjaga tingkah laku dan tutur kata agar tidak menyakiti orang
lain.
"Berhati-hati
dalam bercakap dan tengok apa yang berlaku tetapi jangan suka bagi
ulasan," tambah beliau
disunting dari temulbual Mohd. Radzi Mohd. Zin dengan ustaz abdul rahman hamzah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan