Selasa, 25 Oktober 2011

Kehidupan Oh Kehidupan

Antara nasihat yg cukup hebat dari ustaz pahrol... bacalah, teliti setiap kata2nya yg penuh makna


Pagi Jumaat ini datang seperti biasa. Pintu hari dikuak dan sehari lagi kita mendekati saat kematian yang telah ditentukan itu. Peliknya, hati seakan-akan lupa hakikat itu.
Mati seolah-olah “mati” dalam hidup kita. Saban hari orang bersengketa – tentang itu dan ini, berebut kuasa, mengecam dan mendabik dada. Harta, kuasa, nama dan populariti jadi hijab yang menghilangkan bayang-bayang mati yang mengikut kemana sahaja manusia pergi.
Kita tidak tergamak, bermusuhan sesama saudara, sesama sahabat dan sesama Islam kalau kita kita ingatkan mati. Kita tidak akan berdendam, marah, memfitnah dan melakukan pelbagai penganiayaan jika sedar kita sendiri akan menghadap Allah yang mengetahui tentang kita segala dan semuanya. Baik, mulia, agung dan hebat sangatkah kita?

Wahai diriku dan saudara-saudaraku, mari kita kenangkan saat berpisah yang pasti menjengah. Kenangkanlah saat yang dibimbangkan oleh orang-orang yang soleh itu. Hayati apa yang ditangisi oleh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali RA itu. Mereka mengikut jejak kekasih mereka Rasulullah SAW yang sentiasa mengingati mati. Itulah sumbu bagi pelita kehidupan mereka. Tanpa ingat mati, apalah guna hidup ini…

Hari ini, urut dadamu, pejamkan matamu… istirehat seketika dan katakan: Wahai diri, aku akan mati! Kemudian bukalah mata, dan sematkan di hati bahawa segala ujian hidup ini adalah kecil dan sedikit berbanding apa yang akan dihadapi nanti. Insya-Allah, akan lapanglah hati… dan mulut mampu terseyum dengan segala cabaran yang mendatang. Masakan orang yang melihat singa berhampirannya masih merungut tentang seekor semut yang menggigit kakinya?

Begitulah diriku dan saudaraku, keyakinan kepada kehidupan akhirat akan memberi kekuatan dalam menghadapi kehidupan di dunia. Kenangkanlah saat berpisah kerana…
saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Jika datangnya kita tidak diminta, maka perginya tidak diduga. Bila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji… tiba masanya pasti kembali!Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini?

Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif tentang kehidupan:“Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.”

Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru, hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman. Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan. Tidak sudi berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah di seberang.

Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita. Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma. Allah memberikan kita terang… untuk bersyukur. Allah berikan kita gelap… untuk bersabar.

Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi. Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah tidak akan jemu taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Jangan mengalah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.

Luruskan jalan menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama:“Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.”

Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata orang, Tuhan tidak mencipta manusia bodoh… Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza. Justeru, carilah apakah “kebijaksanaan” itu kerana itulah saluran kita untuk berbakti.

Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut… katalah pada diri, bila berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaan yang kita bimbangkan perpisahan dengannya, akan menjadi sedebu bila berdepan dengan detik itu. Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan. Ingatlah, kata-kata ini:“In life, what sometimes appears to be the end is really a new begining.”

Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya proses perpindahan – dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.

Ya, kalau sanggup datang. Mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentiasa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya… syurga!
Amin.
"satu-satunya pengalaman setiap orang yg tidak dpt dikongsi dgn sesiapa pun..MATI"



Rabu, 19 Oktober 2011

Haji Oh Haji

Sebut sahaja pasal haji,hati mula meraa happy cuma yang menjadi masaalahnya adalah visa haji sahaja.dari pagi hati menunggu dengan penuh debaran dan gundah gulana sbb visa masih belum dapat lagi.tiba -tiba panggilan yang ditunggu-tunggu berdering dan berita gembira diterima.sisa dan baki jenaah yang akan berangkat insyaallah akan dapat visa.itulah nama rezeki.apa pun kepada mu ya allah aku bersyukur dan janji dan baiah dengan mu akan aku laksanakan.kemanisan yang ku rasai pagi ini tak terkata...tak tau apa yang akan ku ungkapkan.....

Selasa, 11 Oktober 2011

MEKKAH MASIH SEPI





Alhamdulillah walaupun waktu singkat tapi ana diberi kesempatan menyelesai beberapa urusan dimekkah.walaupun waktu haji sudah hampir tapi dimekkah masih sunyi terutamanya dimalam hari.
Beberapa hotel yang biasanya menjadi rebutan ejen-ejen malaysia masih belum disewa.antaranya asel syeb,jauharah syukur dll.
Insyaallah bagi kami MSD Travel 2011,jemaah haji tidak seramai agent tabung haji dan kami insyaallah akan berlepas dengan singapore airline pada 28 oktober nanti insyallah.
Published with Blogger-droid v1.7.4

PERANAN HAJI DALAM PEMBINAAN UMMAH

Satu ciri istimewa yang dimiliki oleh surah Al-Haj adalah ia merupakan satu-satunya surah yang dinamakan dengan salah satu daripada rukun Islam. Ibadah haji merupakan topik asasi bagi surah Al-Haj. Di sini kita dapat lihat betapa tingginya nilai ibadah haji dalam kehidupan seorang muslim.
Sekiranya kita membaca permulaan surah Al-Haj, kita akan mendapati bahawa di dalam surah tersebut ada menceritakan perihal hari kiamat. Kita akan dapat lihat bahawa ayat-ayat tersebut memfokuskan kepada hari kiamat, kebangkitan dan tempat kembali sehinggalah ayat-ayat tersebut berpindah kepada topik jihad fi sabilillah, kemudian kepada pengabdian dan ketundukan yang sebenar-benarnya kepada Allah s.w.t. Apakah kaitan diantara topik-topik tersebut?.Dan apakah kaitannya dengan ibadah haji?.

Sesungguhnya seorang muslim akan memahami apakah yang dimaksudkan daripada surah tersebut dengan menunaikan ibadah haji ataupun dengan berada bersama para jemaah haji dan berkhayal bahawa dia merupan salah seorang dari mereka. Haji merupakan satu ibadah yang mempunyai peranan yang asasi di dalam pembinnaan ummah. Seakan-akan surah tersebut berkata kepada mereka : tunaikanlah haji yang sahih sepertimana haji yang ditunaikan oleh Rasulullah s.a.w supaya kamu membina diri kamu dengan makna-makna yang asasi disebalik ibadah haji tersebut. Seterusnya makna-makna tersebut akan bertindak secara praktikal di dalam pembinaan individu, masyarakat dan seluruh ummah.


Peringatan amali

Surah tersebut bermula dengan mengingatkan kita dengan hari kiamat. Pada permulaan surah kita membaca firman Allah s.w.t ” Wahai manusia ! Bertakwalah kepada Tuhanmu, sesungguhnya goncangan (hari) Kiamat itu adalah suatu (kejadian) yang sangat besar”. Apakah kaitan diantara haji dan hari kiamat?.
Sesungguhnya ibadah haji secara keseluruhannya mengingatkan tentang hari kiamat, dari Arafah ke Muzdalifah untuk melontar jamrah dalam keadaan yang amat panas, bersesak-sesak, dan penantian yang lama. Setiap manusia berharap kepada Allah dengan doa, dan mengucapkan ” labbaika Allahumma labbaik “, memakai pakaian haji yang mengingatkan kita tentang kain kafan yang dipakai oleh mayat. Setiap perkara tersebut mengingatkan kita tentang hari kiamat. Kepanasan, kesesakan , dan tenggelam di dalam kepanasan cahaya matahari hari kiamat.


Haji dan gambaran kiamat

Ayat seterusnya menyifatkan keadaan hari kiamat seakan-akan berlaku di depan mata kita, firman Allah : ” (Ingatlah) pada hari ketika kamumelihatnya (goncangan itu), semua perempuan yang menyusui anaknya akan lalai terhadap anak yang disusuinya ,dan setiap perempuan yang hamil akan keguguran kandungannya, dan kamu melihat manusia dalakeadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, tetapi azab Allah itu sangat keras.”.
Kemudian berpindah pula kepada ayat-ayat yang berkaitan dengan kebangkitan. Ketika manusia dikeluarkan dari kubur-kubur mereka dalam keadaan muka dan jasad mereka dipenuhi debu dan tanah mengingatkan kita asal kejadian manusia daripada tanah. Firman Allah : ” Wahai manusia! Sekiranya kamu meragui (hari) kebangkitan, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah...”.
Ketika menunggu untuk membuka pakaian ihram, kamu akan melihat seakan-akan kamu telah menjadi sebahagian dari tanah. Lebih-lebih lagi apabila kamu menunaikan haji seperti haji Rasulullah s.a.w. Di Muzdalifah kamu akan melihat ramai manusia seperti mayat yang kepenatan malah ada diantara mereka yang kelihatan seperti sudah menjadi mayat. Apabila tiba waktu fajar, manusia bangun seperti dibangunkan dari kubur. Setiap mereka memakai pakaian putih dan bergerak untuk melontar jamrah… dengan itu datang ayat mengingatkan kebangkitan dari kubur di dalam firman Allah : ” dan sunggguh, (hari) Kiamat itu pasti datang, tidak ada keraguan padanya, dan sungguh, Allah akan membangkitkan siapa pun yang di dalam kubur.“.
Demikianlah kita melihat kesan pertama haji di dalam mentarbiyah ummah. Tarbiyah tentang hari kiamat dan persediaan untuk menghadapinya.


Ibadah haji matlamatnya ketaatan kepada Allah

Firman Allah : ” Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya hal itu timbul dari ketakwaan hati.”. Apakah rahsia Allah mensyariatkan ibadah yang amat agung ini?.
Sesungguhnya sepanjang ibadah haji ada perkara-perkara yang tertentu yang perlu ditunaikan. Sekiranya tidak ditunaikan dengan sempurna ia akan merosakkan haji tersebut. Seorang muslim yang sedang menunaikan haji akan bertawaf mengelilingi kaabah sebanyak tujuh kali, berlari-lari anak diantara dua bukit sebanyak tujuh kali, kemudian ketika melontar jamrah, dia melontar batu kepada batu. Maka seakan-akan dia mempraktikkan pelbagai ibadah yang tidak diketahui hikmah disebaliknya, tetapi sebenarnya dia hanyalah menunaikan ketaatan kepada Allah, tunduk kepada perintahNya, dan ini merupakan puncak pengabdian dan ketaatan kepada Allah s.w.t, dan juga latihan kepada satu lagi kefardhuan di dalam Islam iaitu jihad dijalan Allah..


Haji dan jihad

Demikian datanglah selepas ayat-ayat haji ayat-ayat jihad fi sabilillah didalam firman Allah : “ Sesungguhnya Allah membela orang yang beriman…“. Dan firman Allah : ” Diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka dizalimi. Dan sungguh, Allah Maha kuasa menolong mereka itu.“.
Haji merupakan suatu latihan asasi kepada jihad fi sabilillah, ia diibaratkan daripada gerakan yang sukar dan perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain,. Kesimpulannya, haji merupakan suatu ibadah yang paling tinggi dimana seorang muslim meninggalkan kebanyakan rutin hariannya bagi membina diri dan menjadikannya seorang yang bersungguh-sungguh dan tahan lasak.


Haji dan ketundukan kepada Allah

Pada hari Arafah, kita akan merasakan bahawa bukan kita sahaja yang sujud kepada Allah di alam ini, tetapi kita akan merasakan bahawa khemah-khemah, gunung-gunung malah seluruh alam ini turut sujud kepada Allah s.w.t.. Maka kita akan bersama mereka di dalam sujud dan ketundukan kepada Allah s.w.t. Seperti di dalam firmanNya : ” Tidakkah engkau tahu bahawa siapa yang ada di langit dan siapa yang ada di bumi bersujud kepada Allah, juga matahari, bulan, bintang, gunung-gunung, pohon-pohon, haiwan-haiwan yang melata dan banyak di antara manusia ? Tetapi banyak (manusia) yang pantas mendapatkan azab. Barangsiapa dihinakan Allah, tidak seorang pun yang memuliakannya. Sungguh, Allah berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki.“.


Kehidupan ummah di antara dua sujud

Surah pertama diturunkan tentang sujud saat awal perutusan adalah surah Al-Alaq dalam firmanNya : ” Sesekali-kali tidak! Janganlah kamu patuh kepadanya, dan sujudlah serta dekatkanlah (dirimu kepada Allah).“. Dan surah Al-Haj pada akhir perutusan, dalam firmanNya : ” Wahai orang-orang yang beriman! Rukuklah, sujudlah, dan sembahlah Tuhanmu, dan berbuatlah kebaikan, agar kamu beruntung.“.
Perbezaan di antara dua sujud menzahirkan perpindahan yang besar oleh ummah, dari sujud yang pertama yang ditujukan kepada Nabi s.a.w kepada sujud yang terakhir yang ditujukan kepada ummah keseluruhannya.
Jadi marilah kita sama-sama menunaikan ibadah haji, paling kurang kita menunaikan umrah bagi menyediakan diri kita mentarbiyahnya dengan makna-makna tersirat sepertimana yang terdapat di dalam surah Al-Haj
Disunting dari abuhamzah.webpress.com

Jumaat, 7 Oktober 2011

Merancang Allah yang menentukan

Insyaallah dalam pukul 1030 pagi nanti saya akan berlepas ke saudi melalui bahrain.Perancangan asal kl ke jeddah tetapi aturan haji sudah keluar mana-mana visa business tak boleh turun di jeddah.Jadi saya terpaksa beli tiket baru untuk ke saudi.Insyaallah selamat......

Khamis, 6 Oktober 2011

Makkah memanggil



Bahang haji 2011 mula dirasai..seronok bagi hujjaj yang terpilih dan sedih bagi yang belum terpilih.Manakala bagi pengendali haji,rasanya tahun 2011 banyak yang bersedih sbb quota sikit..rata-rata ejen katil tidak terjual.sampai ratusan katil kosong.Boleh dikatakan purata hampir SAR 1 juta kerugian.Itulah lumrah perniagaan.Bagi sahabat-sahabat yang katil blm terjual....bersabar insyaallah selesai jua masaalah....

Selamat bermusafir....semoga beroleh hajj mabrur

Isnin, 3 Oktober 2011

Panduan jemaah wanita di Makkah


PENGALAMAN menunjukkan jemaah haji wanita Malaysia yang menunaikan ibadat haji sering mengalami masalah yang tidak diduga atau jarang dialami di tanah air, terutama yang berkaitan pendarahan, sama ada haid, istihadah, pendarahan selepas usia atau masalah keputihan. Ia sering berlaku tidak mengikut kebiasaan yang dialami di tanah air. Ini mungkin di sebabkan perubahan cuaca atau keadaan yang menyebabkan tekanan. Selain daripada itu banyak juga masalah berkaitan hubungan suami isteri dan hubungan dengan rakan sebilik semasa di Madinah atau Makkah.

Isu mengenai pendarahan


l Pengambilan ubatan bagi tujuan menahan kedatangan haid.

Untuk mengelakkan kerja haji tergendala kerana kedatangan haid ada jemaah haji wanita Malaysia yang mengambil ubatan bagi tujuan menyekat kedatangan haid sepanjang tempoh mengerjakan ibadat haji. Pengambilan ubatan bagi tujuan ini ada yang berhasil, namun ada juga yang gagal, malah lebih malang pendarahan berlaku dalam keadaan tidak menentu, ada yang pendarahan berlaku berpanjangan, ada juga pendarahan berlaku dalam kuantiti yang amat banyak melebihi keadaan biasa.

Keadaan ini mungkin berlaku disebabkan wanita terbabit mengambil ubatan tanpa mendapat nasihat pakar sakit puan terlebih dahulu atau tidak memakan ubatan mengikut nasihat dan peraturan ditetapkan. Oleh itu, adalah dinasihatkan bagi wanita yang berhasrat untuk mengambil ubatan bagi tujuan menahan daripada kedatangan haid mestilah terlebih dahulu mendapatkan nasihat doktor sakit puan.

Seeloknya doktor perlu dirujuk tiga bulan sebelum berangkat ke tanah suci Makkah. Mereka yang mengambil ubatan bagi tujuan ini juga mesti mematuhi nasihat dan peraturan yang ditetapkan doktor. Seperti dijelaskan, kegagalan mengikuti nasihat dan peraturan ini sebaliknya bukan saja menggagalkan tujuan menahan kedatangan haid ketika mengerjakan ibadat haji, malah ada kalanya keadaan lebih teruk apabila pendarahan berlaku secara berterusan dan dalam kuantiti banyak. Keadaan ini sudah tentu mengganggu wanita terbabit melakukan ibadat haji.

l Haid datang sebelum wanita berniat ihram.

Ada kemungkinan jemaah haji wanita mengalami kedatangan haid sebelum lagi beliau melakukan niat ihram. Sekiranya wanita mengalami kedatangan haid seperti ini beliau tidak seharusnya berasa bimbang. Beliau sebenarnya masih dibenarkan berniat melakukan ihram dengan melakukan perkara berikut:

i. Mandi sunat ihram

ii. Berniat ihram, sama ada sebelum sampai di miqat atau selepas sampai di miqat

iii. Memakai pakaian ihram

iv. Bertalbiyah, bertahmid, bertasbih dan berzikir.

Pada hakikatnya kedatangan haid dalam keadaan seperti ini tidak menjejaskan kerja haji.

l Haid datang selepas berniat ihram.

Ada kemungkinan jemaah haji wanita mengalami kedatangan haid selepas beliau berniat ihram. Kedatangan haid seperti ini juga tidak menghalang wanita terbabit melakukan sesetengah kerja haji. Beliau boleh melakukan wuquf di Arafah, bermalam di Muzdalifah, bermalam di Mina, melontar jamrah dan membaca semua doa berkaitan dengan kerja haji terbabit. Beliau hanya tidak dibenar melakukan tawaf rukun atau sunat. Beliau boleh melakukannya selepas suci daripada haid sekiranya tarikh penerbangan pulang ke tanah air masih mengizinkan.

l Haid datang ketika mengerjakan tawaf umrah.

Ada kemungkinan jemaah haji wanita mengalami kedatangan haid ketika melakukan tawaf umrah, sama ada ia berlaku selepas langkah pertama pada pusingan pertama, pada pusingan kedua dan pusingan seterusnya. Dalam keadaan seperti ini wanita yang berniat untuk melakukan haji tamattu’ atau umrah sunat maka tawafnya dikira tidak sah. Beliau dikehendaki menunggu sehingga suci daripada haid, kemudian melakukan tawaf semula.

Dengan itu umrahnya dikira selesai. Namun demikian sekiranya haid wanita ini tidak suci sehingga masa hendak berangkat melakukan wuquf di padang Arafah, bererti ibadat umrahnya belum selesai. Dalam keadaan seperti ini wanita terbabit tidak perlu berasa cemas kerana dalam isu ini ada dua pendapat mazhab. Mazhab Syafi`e berpendapat wanita terbabit tidak boleh memasukkan sekali niat hajinya kedalam umrah tamattu’ yang belum selesai itu.

Ia bermakna wanita terbabit tidak dapat melakukan ibadat haji pada tahun itu. Namun bagi mazhab Maliki wanita terbabit masih boleh memasukkan niat hajinya ke dalam umrah yang belum selesai itu selagi dia belum mengakhiri tawaf dengan melakukan solat sunat tawaf dua rakaat. Dengan memasukkan niat hajinya ke dalam umrah yang belum selesai itu hajinya bertukar menjadi haji Qiran.

Dengan itu, beliau dikenakan membayar dam haji Qiran. Oleh itu bagi wanita yang mengalami keadaan seperti ini dinasihati supaya bertaqlid dengan Mazhab Maliki. Inilah barangkali yang dimaksudkan dalam hadis Rasulullah yang menjelaskan bahawa khilaf umatnya itu adalah rahmat.

Tanpa bertaqlid dengan mazhab Maliki wanita yang mengalami keadaan seperti ini akan terlepas peluang mengerjakan haji pada tahun itu, sekalipun beliau mengeluarkan wang ringgit, tenaga dan masanya. Pendapat mazhab Maliki adalah satu rahmat besar kepada jemaah haji wanita yang mengalami keadaan seperti ini.

l Haid datang sebelum tawaf umrah.

Ramai jemaah haji lelaki dan wanita memilih melakukan haji tamattu’. Tiada masalah yang mungkin timbul bagi jemaah haji lelaki, namun jemaah haji wanita yang memilih untuk melakukan haji tamattu’ kemudian mengalami kedatangan haid sebelum tawaf umrah dan haidnya tidak suci sehingga waktu berangkat untuk melalukan wuquf di padang Arafah, wanita ini tidak perlu berasa bimbang.

Ia kerana beliau masih dibenarkan menukar niat haji Tamattu’nya kepada haji Qiran dengan melakukan niat haji Qiran. Dengan penukaran hajinya daripada Tamattu’ kepada Qiran beliau diwajibkan membayar dam haji Qiran.

l Haid datang sebelum tawaf rukun.

Ada kemungkinan jemaah haji wanita mengalami kedatangan haid sebelum tawaf rukun. Wanita yang mengalami keadaan seperti ini sedangkan tarikh penerbangan balik ke Malaysia hampir yang tidak memungkinkannya menunggu suci sebelum berangkat pulang dan tarikh penerbangan pula tidak boleh ditunda, atau kalau ditunggu sehingga haid suci akan mendatangkan kesukaran lebih besar lagi.

Dalam keadaan seperti ini ada dua pendapat mazhab. Mengikut pendapat mazhab Syafi`e wanita itu masih berada dalam ihram sehinggalah beliau melakukan tahallul ihsar dengan menyembelih seekor kambing dan bergunting dengan berniat tahallul di tempat yang perjalanannya tidak mampu untuk melakukan tawaf (Malaysia).

Selepas itu beliau boleh melakukan perkara yang diharamkan sebelum tahallul thani. Bagi mazhab Syafi`e hajinya pada tahun itu tidak sempurna dan beliau diwajibkan menyempurnakan tawaf hajinya di tahun akan datang yang dia mampu melakukannya. Namun demikian mengikut mazhab Hanafi, wanita terbabit boleh melakukan tawaf dan sai`e. Tetapi hukum tawafnya adalah haram kerana dia tawaf dalam keadaan haid. Beliau diwajibkan membayar dam seekor unta. Bagi mazhab Hanafi hajinya pada tahun itu dikira sah. Beliau tidak perlu lagi mengerjakannya semula pada tahun hadapan.

Oleh itu, jemaah haji wanita yang mengalami keadaan seperti ini dinasihati supaya meminta nasihat daripada pakar rujuk ibadat haji di maktab masing-masing untuk menyelesaikan masalahnya.

l Haid datang selepas wuquf dan tawaf rukun.

Ada kemungkinan jemaah haji wanita mengalami kedatangan haid selepas melakukan wuquf di padang Arafah dan selepas selesai melakukan tawaf rukun, cuma beliau kedatangan haid sebelum sempat melakukan tawaf wada`. Sekiranya jemaah haji wanita mengalami keadaan seperti ini dan tiada kemungkinan haidnya akan suci sehingga tarikh penerbangan balik ke Malaysia, beliau boleh saja pulang ke tanah air dengan tidak perlu melakukan tawaf wada` . Beliau juga tidak dikenakan sebarang dam, kerana dia termasuk dalam uzur yang dimaafkan. Hajinya pada tahun itu dikira sempurna.

l Darah haid kekeruhan dan kekuningan.

Ada kemungkinan jemaah haji wanita mendapati masih ada darah berwarna kekeruhan dan kekuningan selepas tamat tempoh kebiasaan haidnya. Wanita yang mengalami keadaan seperti ini tidak perlu berasa bimbang. Darah yang berwarna kekeruhan dan kekuningan ini tidak dikira sebagai darah haid. Ertinya beliau sudah suci daripada haid. Oleh itu beliau boleh mandi hadas besar dan seterusnya boleh mengerjakan tawaf.

l Fatrah al-naqa'.

Fatrah al-naqa' bermaksud hari haid berhenti dalam tempoh masa haid. Jemaah haji wanita mungkin mengalami keadaan seperti ini, haidnya terhenti pada jangka masa tertentu dalam tempoh kebiasaan haidnya. Sekiranya tempoh masa darah terhenti itu mencapai tempoh selama 24 jam ulama berbeza pendapat.

Ada yang berpendapat tempoh itu masih dikira sebagai tempoh masa haid. Ada yang berpendapat tempoh itu boleh dikira sebagai suci. Oleh itu, bagi wanita yang kesuntukan masa untuk melakukan tawaf rukun disebabkan tarikh penerbangan yang tidak mengizinkannya menunggu sehingga tamat tempoh kebiasaan haidnya dan tarikh penerbangan tidak boleh ditunda adalah dinasihatkan supaya berpegang dengan pendapat fuqaha' yang mengatakan fatrah al-naqa' selama 24 jam adalah suci, bukan haid. Dengan itu beliau boleh mandi hadas besar, seterusnya melakukan tawaf rukun dan berangkat pulang.

l Darah istihadah dan keputihan yang berpanjangan.

Ada keadaannya jemaah haji wanita mengalami darah istihadah atau mengalami keputihan yang berpanjangan. Wanita yang mengalami dua keadaan ini masih boleh melakukan solat, tawaf dan ibadat yang melakukannya disyaratkan suci daripada hadas kecil. Sebelum melakukan ibadat terbabit beliau mestilah terlebih dahulu mengambil wuduk. Cara beliau berwuduk adalah seperti berikut:

i. Beliau mesti berwuduk selepas masuk waktu solat

ii. Sebelum berwuduk beliau mestilah membersihkan darah dan keputihan. Selepas darah dan keputihan dibersihkan beliau hendaklah memakai tuala wanita

iii. Wuduknya hanya memadai untuk satu fardu dan beberapa sunat. Ertinya beliau boleh melakukan tawaf rukun, beberapa solat sunat dan beberapa tawaf sunat. Beliau boleh melakukan satu solat fardu dan beberapa solat sunat dan beberapa tawaf sunat.

Melakukan sa`ie tidak memerlukan suci daripada hadas kecil.

l Beberapa nasihat bagi mereka yang mengalami haid atau berkemungkinan mengalami kedatangan haid.

i. Tidak digalakkan tinggal bersendirian di dalam bilik hotel. Adalah dinasihatkan supaya berada di bilik jiran sebelah atau berada di lobi hotel sahaja. Ia adalah sebagai langkah berjaga-jaga daripada keadaan yang tidak diingini berlaku.

ii. Atas nasihat doktor, wanita yang mengalami istihadah atau keputihan tidak digalakkan memakai tampon kerana berkemungkinan besar mengakibatkan kesan sampingan.

iii. Wanita yang berkemungkinan mengalami kedatangan haid digalakkan banyak berdoa semoga Allah memberi kemudahan beliau melakukan ibadah haji dengan menjauhkan kedatangan haid yang tidak menentu, terutama pada saat ibadat itu perlu dilakukan dalam keadaan suci. Mereka tidak digalakkan membaca bacaan tertentu untuk menghalang kedatangan haid, kecuali bacaan itu dipastikan sabit daripada hadis sahih. Ini bagi tujuan menjauhkan jemaah haji daripada melakukan perkara khurafat yang sangat-sangat ditegah syarak.

iv. Ketika dalam keadaan haid dan tidak boleh melakukan ibadat yang mensyaratkan suci daripada hadas, wanita terbabit digalakkan melakukan banyak ibadat lain seperti bertahlil, bertahmid, bertasbih, bertakbir atau zikir lain.


Oleh Prof Madya Dr Anisah Abd 

Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (Tabung Haji/JAKIM)

Ahad, 2 Oktober 2011

Jangan malu guna Bilik Berkat

Di Tanah Suci, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Kisah perselisihan faham antara suami isteri juga acapkali kita dengar walaupun pasangan tersebut hidup rukun damai di Malaysia.
Antara sebabnya, masalah komunikasi antara suami isteri terutama bagi yang mengikut muassasah. Hal ini bukan sahaja melibatkan soal suami 'tertinggal' isteri semasa mahu ke Masjidil Haram atau Masjid Nabawi tetapi juga melibatkan hubungan intim suami isteri.
Eksekutif Bimbingan, Tabung Haji Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS), Abdul Rahman Hamzah berkata, kes bermasam muka akibat ketiadaan hubungan intim suami isteri ini memang berlaku walaupun ramai yang malu bercakap mengenainya.
Katanya, berdasarkan pengalaman mengurus jemaah haji, ada suami yang jadi pemarah atau terganggu emosinya disebabkan masalah ini.
"Sebab itu, jemaah haji jangan malu berjumpa petugas Tabung Haji (TH) untuk menggunakan Bilik Berkat yang disediakan di hotel-hotel di Mekah.
"Tujuan disediakan bilik tersebut bagi membolehkan suami bersama dengan isteri sebelum bergerak ke Arafah.
"Ini penting supaya mereka bergerak ke Arafah dengan suasana ceria dan emosi yang stabil agar dapat melaksanakan ibadat dengan sempurna," katanya kepada Mega, baru-baru ini.
Abdul Rahman, 31, berpengalaman membimbing jemaah haji sejak tahun 2001 dan pernah bertugas dengan Darus Salam Holding di Brunei selama enam tahun iaitu sehingga tahun 2006.
Selepas menyertai THTS pada tahun 2007, lulusan Universiti Umm al-Qura', Mekah itu dilantik sebagai Penolong Timbalan Pengurus Maktab Haji di Mekah sehingga tahun 2008.
Seterusnya dilantik sebagai Timbalan Pengurus Maktab Haji di Mekah mulai tahun 2009 hingga sekarang.
Abdul Rahman juga menasihati jemaah haji agar tidak mensia-siakan waktu mustajab berdoa iaitu 30 minit sebelum terbenam matahari pada 10 Zulhijjah semasa berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Sebabnya, kata beliau, pada waktu itu gangguan syaitan amat hebat sehingga ramai jemaah 'disibukkan' dengan hal-hal lain.
"Ketika ini, jemaah berada dalam ihram tetapi masa ini jugalah ada jemaah yang sibuk nak mengambil makanan, ais krim dan sebagainya," jelas beliau.
Pada masa yang sama, Abdul Rahman mengingatkan jemaah yang menaiki penerbangan akhir ke Mekah supaya tidak berusaha mencukupkan umrah sunat tujuh kali dalam masa lima hari.
"Dikhuatiri perbuatan ini boleh menjejaskan kesihatan jemaah kerana mereka masih belum ke Arafah untuk wuquf dan melontar di Mina.
"Kalau hendak buat, boleh tetapi selepas selesaikan haji dulu," jelas beliau.
Oleh kerana kewajipan menunaikan haji itu barangkali sekali seumur hidup, elok juga jemaah mempersiapkan diri dengan doa-doa untuk dibawa ke Tanah Suci.
Abdul Rahman menyarankan agar doa itu ditulis sejak di tanah air dan anak-anak boleh membantu ibu bapa masing-masing dalam hal itu.
"Demikian juga, pastikan kita membawa sejadah, tasbih dan kasut sebagai persediaan di Mina semasa berada di Arafah untuk mengelak pecah pada tumit dan tapak kaki," katanya.
Seperti yang kita maklum, Tanah Suci adalah tempat mustajabnya doa dan juga tempat di mana pembalasan Allah itu boleh berlaku serta-merta, maka perlulah jemaah haji menjaga tingkah laku dan tutur kata agar tidak menyakiti orang lain.
"Berhati-hati dalam bercakap dan tengok apa yang berlaku tetapi jangan suka bagi ulasan," tambah beliau

disunting dari temulbual Mohd. Radzi Mohd. Zin dengan ustaz abdul rahman hamzah

Kenangan DiJabal Uhud


anak-anak dan isteri diJabal Uhud 2009

KHASIAT BUDU


Misteri yang baru terungkap. Khazanah yang belum dikenali ramai tapi sudah lama diamalkan di Kelate. Budu atau sos bilis yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini mendapat perhatian
dan menjadi kajian para ahli pemakanan berkhasiat Jepun, Amerika, Australia, New Zealand dan Jerman.

Penemuan baru-baru ini membuktikan kandungan budu memiliki Gluthaione sebagai bahan antioksidan, mengeluarkan sisa toxic dan meningkatkan daya tahan tubuh (immune) yang dapat memerangi pelbagai penyakit merbahaya dan menghalang kanser. Kenyataan ini bagaikan
satu kejutan bagi golongan yang selama ini memperlekehkan kewujudan budu yang dianggap makan "kuno". Budu berpotensi untuk melawan radikal bebas sehingga dapat menghalang proses penuaan dan mencegah terjadinya penyakit degeneratif seperti aterosklerosis, koroner jantung, diabetes, kanser dan selainnya pada peringkat lebih awal.

Kajian mendalam juga mendapati budu turut mengandungi zat antibakteria penyebab diare, penurunan kolestrol darah, pencegah penyakit jantung dan hipertensi. Budu memiliki zat gizi yang
lebih mudah dicerna,diserap dan dimanfaatkan oleh tubuh berbanding jenis protein yang lain. Khasiat budu yang diproses dari ikan bilis yang diperam terbukti mampu mengatasi masalah kanak-kanak yang menderita penyakit diare kronis akibat kurang zat pada tubuh.

Dengan pengambilan budu sebagai makanan sampingan ia mampu menggalakkan pertumbuhan berat badan bagi golongan yang menderita penyakit diare kronis ini serta menyembuhkannya dalam waktu singkat. Ia juga dapat mempertingkatkan IQ kepada sesiapa yang memakannya, kerana ia merangsangkan sel-sel otak dan akan memperkukuhkan ikatan di antara neuron-neuron serta menguatkan neuron2 yang lemah.

Pemakanan budu turut bertindak membantutkan pertumbuhan bakteria raffinosa dan stokiosa, penyebab utama gejala flatulensi dan kembung perut bagi kanak-kanak dan orang dewasa. 2 kelompok vitamin yang terdapat pada budu iaitu, vitamin larut air (vitamin B Kompleks) dan vitamin larut lemak (vitamin A, D, E dan K). Budu merupakan sumber vitamin B yang paling banyak menyumbang kepada pecahan lain seperti vitamin B1 thiamin), vitamin B2 (riboflavin), asid pantotenat, asid niasin, vitamin B6 dan vitamin 12 (sianokobalamin). Secara saintifik, budu merupakan penyumbang utama vitamin B12 yang dihasilkan oleh bakteria klebsiella pneumoniae dan Citrobacter frundiin - yang mana Vitamin B12 ini tidak dimiliki dari mana-mana sumber makanan laut, ikan-ikan dan daging-daging lain. Ianya perlu untuk pembentukan sel darah merah, di mana kekurangan vitaman ini mengakibatkan terjadinya penyakit anemia perisiosa (pucat), sakit perut dan berat badan menurun. Kadar Vitamin B12 dalam budu adalah di antara 1.5 sehingga 6.3 mikrogram per 100 gram bagi setiap satu hidangan atau 2 sudu besar. Jumlah ini jauh lebih cukup untuk keperluan badan manusia dalam sehari. Dengan adanya vitamin B12 para pengamal diet jaga badan) tidak perlu lagi merasa khuatir akan kekurangan vitamin B12 di dalam badan. Selain pembekal kepada protein yang tinggi, ia turut mengandungi mineral makro dan mikro dalam jumlah yang cukup.Jumlah mineral zat besi, kalsium dan magnesium adalah sebanyak 9, 39, 2,87 dan 8.05mg bagi setiap 100 gram budu.

Budu juga mengandungi zat antioksidan dalam bentuk isoflavon. Seperti halnya vitamin C, vitamin E dan karotenoid, isoflavon juga merupakan antioksidan yang sangat diperlukan oleh tubuh untuk menghentikan reaksi pembentukan radikal bebas. Radikal bebas merupakan atom atau molekul yang mempunyai satu atau lebih elektron yang tidak berpasangan, sehingga menjadi sangat aktif hingga menyebabkan ketumbuhan tumor, kanser, penuaan dan kematian sel. Radikal bebas didapati berpunca dari makan seharian yang dimakan dan juga dari reaksi yang terjadi di dalam tubuh. Adanya antioksidan di dalam budu akan mencegah pembentukan radikal bebas tersebut.

Kebiasaannya di dalam apa jua jenis ikan terdapat 3 jenis isoflavon (unsur antioksidan) iaitu daidzein,glisitein dan genistien. Pada budu, di samping 2 jenis unsur ini, terdapat juga antioksidan faktor 11 (6, 7, 4 trihidroksi soflavon) yang mempunyai sifat antioksidan paling kuat dibandingkan isoflavon dalam ikan-ikan lain.

Penelitian yang dilakukan di University North Carolina, Amerika Syarikat menemukan bahawa unsur genestein dan phytoestrogen yang terdapat pada budu terbukti dapat mencegah penyakit kanser, proses penuaan dan kanser payudara. Penyakit jantung koroner (PJK) merupakan salah satu bentuk kelainan pembuluh darah koroner akibat penumpuan lemak di dalam dinding pembuluh darah iaitu satu keadaan yang disebut aterosklerosis. Ini mungkin disebabkan oleh faktor usia, pemakanan, jantina dan keturunan. Manakala faktor dimodifikasi adalah peningkatan kadar lipida darah (hiperkolestrolemia), hipertensi, obesiti, stress dan kurang aktiviti lasak. Pemakanan budu yang mempunyai sifat hipokolesterolemik (menurunkan lemak darah) seperti kandungan protein,serta makanan, niasin, vitamin E, karotenoid dan kalsium.

Satu ujikaji rambang yang dijalankan mendapati pengambilan budu sebanyak 150 gm sehari selama 2 minggu dapat menurunkan kadar kolestrol ke tahap luar dari jangkaan. Selain dari sumber protein yang berkualiti tinggi,budu turut dikenali sebagai sumber serat (dietary fiber) yang baik. Kandungan serat didalam budu mampu mencapai di antara 8 hingga 10% bagi setiap 100 gm. Ia menyumbangkan kepada 30% dari jumlah serat yang dianjurkan oleh National Cancer Reserach. Berbanding serat di dalam ikan-ikan atau sumber protein lain, serat pada tempe (Farmasi Anis: tempe atau budu?) lebih mudah untuk dicernakan. Dari apa yang dinyatakan ini jelas sekali bahawa hasiat serta kebaikan sepiring budu yang dimakan bersama hidangan nasi pagi, tengahari dan alam melampau jangkauan yang anda fikirkan. Budu umpama seteguk air multivitamin yang menyumbang kepada pelbagai keperluan untuk tubuh badan.

Wallahu a'lam...

BILIK BERKAT

Bilik berkat satu istilah di musim haji....Biasanya di hotel tabung haji tersedia satu atau dua bilik.kalau anda ke mekkah bersama isteri jangan lupa bertanya apa itu bilik berkat?jangan sampai bermasam muka antara suami isteri pasal x dapat keberkatan di mekkah.
Tanya jangan x tanya.Rugi kalau malu bertanya.Memang 42 hari di mekkah kekadang memerlukan kehidupan yang paling berkat.....
Apa itu bilik berkat...????????

TUJUH SUNNAH NABI YG MESTI DILAKUKAN OLEH UMMATNYA SETIAP HARI:




1.Solat tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.

2. Membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.

3. Solat subuh berjamaah. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

4.Melakukan solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

5.Bersedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

6.Berwudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".

7.Beristighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.

Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.

" wahai tuhan ku, aku tak layak kesyurgamu ...namun tak pula aku sanggup keNerakamu.. .......,kami lah hamba yang mengharap belas darimu ........Ya Allah jadikan lah kami hamba2 mu yang bertaqwa.... ..ampunkan dosa2 kami, kedua ibubapa kami, dosa semua umat2 islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia".

Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga).- Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim.

Disunting dari hajiarshad.blogspot.com